SUAMI ISTERI BEKERJA SENDIRI ATAU MAKAN GAJI, KELEBIHAN DAN KEKURANGANNYA


Hidup kini kian mencabar. Ekonomi ada naik dan turunnya. Dunia pula dilanda wabak, bencana alam dan pelbagai lagi masalah sosial. 

Jika kita tidak mempersiapkan diri kita dengan keadaan ini, takut takut kita terumbang ambing dan menghadapi masalah yang lebih besar.

Dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar disebabkan banyak faktor, kita melihat banyak trend melibatkan suami dan isteri bekerja untuk menampung beban keluarga.

Jarang jarang sekali kita melihat isteri zaman sekarang menjadi suri rumah sepenuh masa. 

Jika jadi suri rumah sepenuh masa sekalipun, pasti ada sumber pendapatannya yang tersendiri seperti berniaga online, ambil upah jaga anak jiran dan sebagainya. 

Sangat jarang isteri tidak memiliki sumber pendapatannya.

Namun persoalannya, kaedah apakah yang paling sesuai?

Suami isteri makan gaji?

Suami isteri bekerja sendiri?

Suami makan gaji, isteri bekerja sendiri?

Jom kita kupaskan dan lihat satu per satu apakah perbezaan dari sudut kelebihan dan kekurangannya.


SUAMI ISTERI MAKAN GAJI

Antara kelebihan jika kedua dua suami isteri bekerja tetap dan makan gaji ialah adanya jaminan pendapatan setiap bulan. 

Jadi mereka kurang sedikit kegusaran apabila memikirkan status kewangan keluarga mereka.

Namun yang menjadi masalah di sini ialah jika kedua dua mereka mempunyai masa yang terhad untuk anak anak. 

Kebiasaannya suami isteri akan menghantar anak kecil mereka di pusat asuhan atau menghantar kepada saudara mara mahupun jiran jiran yang sanggup mengambil upah menjaga anak kecil itu. 


SUAMI ISTERI BEKERJA SENDIRI

Jika suami dan isteri bekerja sendiri pula, memberi kelebihan dari sudut masa Bersama keluarga. 

Malah anak anak yang sudah mula bersekolah, mungkin boleh membantu ibu bapa mereka Ketika masa lapang untuk menguruskan hal hal berkaitan kerja tersebut seperti membantu ibu bapa mereka di gerai, membantu ibu bapa mereka membungkus barang barang bisnes online dan sebagainya.

Tetapi kekurangannya di sini ialah bekerja sendiri ini ada risikonya. 

Kita ambil contoh di musim pandemik ini, apabila berlaku lock down, suami isteri yang memiliki gerai makan di luar terpaksa menutup operasi. 

Bisnes sendiri tidak dapat lari daripada pelbagai risiko, malah pendapatan yang diterima juga tidak tetap setiap bulan seperti orang makan gaji.

Pendapatan setiap bulan juga memerlukan usaha yang keras daripada pengusaha pengusaha yang bekerja sendiri ini.


SUAMI MAKAN GAJI, ISTERI BEKERJA SENDIRI

Tidak kiralah sama ada suami atau isteri yang makan gaji, tetapi salah seorang juga perlu untuk bekerja sendiri. 

Trend ini Nampak lebih ideal dan stabil Ketika menghadapi zaman yang mencabar ini.

Makan gaji memberi kelebihan dari segi pendapatan yang tetap dan tidak perlu gusar memikirkan bebanan kewangan yang melampau. 

Jika ada anak kecil yang perlu dijaga, sekurang-kurangnya ada salah seorang yang bekerja sendiri, baik suami atau isteri, yang boleh menjaga dan membesarkan anak tersebut.

Bekerja sendiri sangat memberi kelebihan dari segi masa Bersama anak anak dan membantu mereka dalam proses tumbesaran. 

Jadi adanya salah seorang dari pada suami atau isteri yang bekerja sendiri adalah solusi yang lebih ideal daripada kedua kedua mereka terus makan gaji atau bekerja sendiri.

Selain itu, urusan peribadi yang lain juga lebih terurus jika salah seorang daripada mereka tidak terikat dengan majikan dan masa di tempat kerja. 

Sebagai contoh urusan pergi ke bank, pejabat pos dan pejabat pejabat kerajaan yang lain.

Masa menjadi lebih fleksibel tanpa adanya tekanan untuk menguruskan hal hal peribadi tersebut. 

Malah jika ingin pergi melancong, hanya salah seorang daripada mereka perlu memohon cuti daripada majikan. 

Jika kedua duanya bekerja, nak memohon cuti pada Tarikh yang serentak juga satu perkara yang perlu difikirkan Panjang.

Akhir sekali, bekerja sendiri juga memberi kelebihan jika perniagaan yang diusahakan itu menjadi maju, pendapat yang diterima juga semakin meningkat dan kehidupan selepasnya juga menjadi lebih stabil. 


Dalam kes sebegini, suami dan isteri boleh berganding bahu kerana perniagaan mereka dilihat sudah mempunyai masa depan yang cerah.


Comments