Kita umum mengetahui bahawa bumi ini mempunyai 70% air pada permukaannya. Ini membuatkan planet bumi ini planet yang unik dan istimewa berbanding planet-planet lain di dalam sistem suria kita kerana kewujudan air dan hidupan yang pelbagai. Namun dapatkah anda membayangkan apakah yang akan terjadi jika bumi kita secara tiba-tiba kehilangan 70% air lautan?
Pertama, yang akan terjejas ialah hidupan di lautan. Pelbagai spesies hidupan laut daripada ikan sehinggalah tumbuhan dan terumbu karang akan terjejas. Ini membuatkan sebahagian besar hidupan flora dan fauna yang membina ekosistem dunia ini akan terjejas.
Lautan sangat penting dalam pembinaan kitaran air yang menyebabkan kejadian hujan. Jika lautan tiada, bermakna tiada hujan. Untuk hujan turun membasahi bumi, penyejatan dari air laut diperlukan dan wap air akan dibawa ke darat. Apabila sampai ke darat, proses kondensasi akan menyebabkan wap air ini turun dalam bentuk hujan.
Jika hujan tiada, maka pokok-pokok di hutan juga akan kehilangan sumbernya yang sangat penting untuk kehidupannya. Pokok memerlukan air untuk kelangsungan hidupnya. Jika lautan tiada, hujan tiada, hutan di seluruh dunia akan mati begitu sahaja. Dan apa akan terjadi kepada oksigen yang membina atmosfera kita?
Pokok menghasilkan oksigen untuk kita bernafas dan mengawal suhu bumi. Jika pokok-pokok di hutan sudah tiada, oksigen di udara akan semakin berkurangan. Semua hidupan di dunia akan pupus kerana oksigen yang semakin menipis dan suhu bumi yang semakin meningkat. Kesemua kejadian yang berlaku ini akan menyebabkan bumi kita seperti Planet Zuhrah yang sangat panas, dunia yang asing dan tiada kehidupan kerana suasana yang ekstrem.
Lautan sangat penting untuk kehidupan di bumi. Lautan mungkin tidak akan kering dalam tempoh yang panjang. Namun menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebersihannya supaya hidupan-hidupan laut dapat melangsungkan kehidupan mereka dengan baik, bebas daripada pencemaran yang mengganggu dunia mereka. Lautan ialah tanggungjawab manusia bersama.
Comments
Post a Comment