CARA MENYIMPAN DUIT DAN MENGGANDAKAN DUIT


Menyimpan duit atau menabung merupakan cara untuk menyelamatkn dan menjaga status kesihatan kewangan kita. Setiap orang mempunyai matlamat yang tersendiri untuk menabung.

Namun hari ini, menabung bukan setakat untuk mencapai matlamat jangka pendek seperti untuk berkahwin, menyambung pengajian di universiti, mengumpul modal untuk membeli rumah, malah juga untuk matlamat jangka masa panjang seperti kaedah untuk menggandakan wang untuk kehidupan di hari tua.

Namun berapa ramaikah antara kita yang mengamalkan budaya menabung ini ?

cuba kita semak kembali duit simpanan kita, berapa banyakkan yang telah kita menyimpan selama ini.

Tahukah anda, kita perlu mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 3 bulan gaji?

Ya benar. Kita perlu mempunyai dana kecemasan bersamaan dengan nilai 3 bulan gaji kita. Cuba bayangkan situasi yang tak terjangka berlaku seperti pandemik covid-19 baru-baru ini yang melanda seluruh dunia.

Berjuta-juta umat manusia kehilangan pekerjaan dan hidup dalam kegawatan ekonomi yang dahsyat.

Banyak perniagaan yang gulung tikar. Tiada sesiapa yang menjangkakan hal sebegini untuk berlaku. Dan itulah tips pertama yang saya nak berikan:


DANA KECEMASAN 3 BULAN GAJI

Jika kita mempunyai simpanan sebanyak 3 bulan gaji, apabila situasi yang tersebut tadi berlaku, sekurang-kurangnya kita masih mampu bertahan selama 3 bulan tanpa pekerjaan.

Jadi sementara itu, kita boleh mencari solusi untuk menyelesaikan masalah tersebut seperti mencari sumber pendapatan baru termasuklah pekerjaan baharu mahupun memulakan perniagaan online.

Ada juga yang mempunyai simpanan sebanyak 6 bulan gaji. Lebih lama simpanan anda, lebih baik bagi kesihatan kewangan anda dan lebih stabil kehidupan anda. 

Ini bermakna anda mempunyai tempoh 6 bulan untuk bertahan sementara mencari sumber pendapatan baharu.

Jika anda mampu menyimpan nilai setahun gaji dipersilakan. Anda lebih tahu status kemampuan kewangan anda dan komitmen anda untuk menyimpan secara bulanan. 

Namun bagaiman jika kita tak mampu nak menyimpan secara bulanan? Duit gaji yang dapat pun cukup-cukup je? Dan itu membawa kita kepada tips yang kedua:


BERJIMAT-CERMAT DALAM BERBELANJA

Ya, bunyinya agak ‘cliche’ kan? Tapi itulah realitinya. Cuba kita duduk bermuhasabah diri sebentar, ambil pen, buku dan kalkulator.

Cuba buat kira-kira berapakah yang telah anda belanjakan hari ini. Dan cuba rekodkan setiap hari selama sebulan.

Anda pasti terkejut dengan berapa banyaknya nilai yang telah anda belanjakan selama sebulan tersebut. Kemudian anda terkejut begitu banyaknya belanja pada benda-benda yang tak perlu.

Tambahan lagi, ‘shopee’ setiap bulan buat promosi yang pasti buat tidur anda tak tenang menanti detik 12 tengah malam 12.12 bukan?

Saya pernah mendengar sendiri ada seorang gadis yang pernah menyimpan sebanyak RM10 ribu selama 4 bulan hanya dengan memotong pelbagai jenis perbelanjaan perbelanjaan yang tak perlu.

Jadi anda perlu membuat kira-kira anda sendiri dan potong yang mana tak perlu dan hanya berbelanja pada perkara yang perlu sahaja dan itu membawa kita kepada tips yang ketiga.


BEZAKAN ANTARA KEHENDAK DAN KEPERLUAN

Apakah contoh perbelanjaan yang menjadi keperluaan? Sebagai contoh sewa rumah, belanja dapur,  belanja sekolah anak-anak, insurans/takaful dan banyak lagi.

Apakah contoh kehendak? Sebagai contoh, nak tukar rim tayar kereta, nak beli iphone model terbaharu, walaupun sekadar nak makan di TGI Friday, sekali-sekala mungkin boleh dipertimbangkan.

Setiap kali anda mahu berbelanja, pastikan anda kenalpasti terlebih dahulu apakah yang anda akan belanjakan itu satu bentuk keperluan atau kemahuan.

Selepas itu barulah anda tentukan anda akan keluarkan duit atau simpan.

Jom kita hayati kisah dua orang kawan yang masing-masing mempunyai matlamat kewangan masing-masing.

Ali (bukan nama sebenar) merupakan seorang pekerja swasta. Setiap kali dapat gaji, Ali berbelanja sakan. Terutamanya dia suka berbelanja pakaian kerana ingin kekal bergaya dan hebat apabila dipandang gadis-gadis.

Bagi Ali, tak kisah berbelanja lebih pada diri sendiri sebab kepuasan bila menggayakan diri itu buatkan dirinya dipandang hebat dan sering dipuji.

Sementara itu, Adam seorang pekerja freelance. Setiap kali dapat upah daripada job hariannya, Adam berbelanja sedikit tetapi menyimpan lebih.

Adam tak kisah tentang gaya dirinya. Tetapi tidaklah terlalu selekeh.

Asalkan cukup syarat sahaja nampak kemas dan perlu sahaja. Adam sering diejek oleh Ali kerana tidak memanfaatkan zaman muda untuk tampil kacak bergaya.

Adam dianggap kedekut oleh Ali. Tetapi Adam tidak kisah untuk hidup secara sederhana.

Ketika pandemik melanda, kedua-dua mereka kehilangan sumber pendapatan.

Ali tidak mempunyai simpanan. Ali tak tahu nak buat apa. Ali menjual barang-barang yang pernah dibelinya pada harga yang murah sekadar untuk memenuhkan periuk nasi hariannya.

Sementara Adam sudah bersedia dengan duit simpanannya selama ini.

Bukan setakat itu sahaja, Adam membuat pelaburan untuk menggandakannya.

Adam bijak, dia sedar yang nilai duit pasti akan dimakan inflasi. Pelaburan mampu menyelamatkan status kewangan Adam.

Jadilah seperti Adam.

Dalam ringkasan cerita di atas, siapakah kita hari ini? Adam atau Ali? Adakah kita bijak berbelanja atau boros berbelanja?

Hanya diri kita yang tahu status kita hari ini.

Ali hanya bahagia sementara, tetapi merana ketika musibah melanda. Adam sudah membuat persiapan yang bijak.

Malah Adam melakukan pelaburan pula untuk menggandakan pendapatannya. Dan ini membawa kita kepada tips yang seterusnya.


PELABURAN MENGGANDAKAN SIMPANAN

Pelaburan ialah satu cara untuk menggandakan wang kita hari ini. Ini kerana duit yang kita simpan tidak selamanya kekal nilainya sebegitu.

Inflasi sering terjadi. RM1 dahulu boleh kita makan nasi lemak dengan kenyangnya, tetapi hari ini, nasi lemak RM1 sangat kecil, malah perlu beli dua atau tiga bungkus untuk kenyang.

Jika kita menyimpan RM100 setiap bulan, setahun kita akan dapat RM1200. Namun bagaimana jika kita boleh dapat lebih? Dengan pelaburan.

Zaman sekarang ini pelbagai instrumen pelaburan boleh didapati di pasaran kita. Antaranya termasuklah pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, Takaful, emas, hartanah, saham dan banyak lagi.

Yang penting pilih yang patuh syariah sahaja.

Setiap instrumen pelaburan mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Setiap pelaburan juga mempunyai risikonya.

Tinggi atau rendah risiko bergantung pada diri anda mahu ambil instrumen yang mana.

Jika anda seorang yang berani mengambil risiko, cubalah belajar dunia saham kerana pulangan dari saham ini sangat besar. 

Jika ASB boleh menjana antara 4% - 7% dividen setahun, saham boleh menjana 20% keuntungan dalam setahun seperti yang dilakukan oleh Warren Buffet, raja saham dunia.

Ada juga orang yang pernah saya jumpa menjana 20% keuntungan hanya dalam sehari, malah boleh buat lebih. Boleh dikatakan untung saham ni unlimited.

Tapi awas! Pulangan yang tinggi datang dari risiko yang tinggi, pastikan ilmu anda cukup sebelum terjun dalam bidang saham.

Jika anda seorang yang memilih jalan selamat, melaburlah dalam ASB. Pulangannya setiap tahun pun walaupun berubah-ubah, tetapi masih ada hasil yang sentiasa diperolehi.

Instrumen komoditi seperti emas pula sesuai jika anda ingin melabur pada jangka masa panjang.

Ini kerana harga emas sentiasa naik untuk tempoh yang lama seperti setahun ke atas.

Cuba anda google carta emas sejak 10 tahun yang lepas, apakah trend nya? Menaik bukan?

Emas juga kalis inflasi, ini terbukti apabila inflasi atau pasaran ekonomi jatuh, saham masih mengekalkan kedudukannya.

Jadi jika anda ingin memastikan duit anda dalam keadaan yang selamat dan sentiasa bernilai di masa akan datang, tukarkanlah simpanan anda kepada emas. Pasti berbaloi.

Pelaburan perlukan ilmu. Jangan sesekali terjun dalam sesuatu instrumen pelaburan hanya kerana ikut kawan dan teruja melihat prestasi saham-saham sekian.

Penuhkan ilmu di dada dan pilihlah instrumen yang sesuai untuk anda. Selain melabur, anda juga boleh menggandakan wang pendapatan anda dengan mewujudkan pendapatan tambahan atau pendapatan sampingan.

Ini membawa kita kepada tips yang terakhir iaitu berniaga.


BERNIAGA MENJANA PENDAPATAN TAMBAHAN

Tahukah anda, anda boleh memperoleh pendapatan tanpa had dengan perniagaan? Jika anda bekerja makan gaji, pendapatan bulanan anda terhad pada jumlah tertentu.

Kalau ada kenaikan pun mungkin makan masa. Namun dengan perniagaan, jika kena pada caranya, anda sendiri yang tentukan berapa jumlah pendapatan anda dan berapa cepat anda boleh menikmati hasil usaha anda sendiri.

Sebab itu Rasulullah SAW pernah bersabda yang 9/10 daripada rezeki datanya melalui perniagaan.

Tetapi pastikan anda berniaga benda yang halal ya. Kalau berniaga benda yang haram, bukan setakat tak berkat, tambah dosa pula.

Kebanyakan orang-orang terkaya di dunia dan Malaysia hari ini semuanya ialah seorang usahawan.

Malah kebanyakan mereka bermula daripada bawah. Yang mewarisi kekayaan keluarga juga taklah ramai sangat.

Jadi jika mereka boleh, tak mustahil juga kita boleh bukan?

Namun seperti juga pelaburan, perniagaan juga memerlukan ilmu yang penuh di dada. Anda tidak boleh sembarangan terjun dalam bidang perniagaan tanpa ilmu yang sebetulnya.

Lebih parah lagi hanya sekadar ikut trend. Hari ini ramai yang menjual di shopee, sehingga permainan harga produk-produk dan barangan menjadi kebiasaan dalam kalangan penjual di sana.

Ini mungkin menguntungkan pihak pembeli, tetapi tidak bagi penjual yang terpaksa menerima untung kecil malah rugi pula.

Mereka yang baru bermula dalam perniagaan, jika tidak dibimbing dengan betul, pasti mudah untuk jatuh dan lemah semangat.

Mentor sangat diperlukan untuk membimbing kita dalam arena bisnes ini.

Hari ini banyak kelas-kelas atau seminar-seminar yang mengajar tentang asas perniagaan sehinggalah kaedah advance.

Ada yang caj murah dan ada juga yang beribu-ribu harganya. Ilmu yang menjadi kebiasaan diajar ialah teknik marketing.

Ya ilmu marketing atau pemasaran bagi saya merupakan ilmu yang paling penting sekali dalam perniagaan.

Sesiapa yang menguasai pengiklanan yang menarik pelanggan lebih ramai pasti mempunyai peluang yang cerah dalam perniagaan.

Teknik marketing itu sendiri seperti tiada batasan kaedahnya. Pasti ada bermacam-macam kaedah baru yang diterokai.

Jadi buat anda yang mahu memulakan perniagaan, nasihat saya, pastikan penuhkan ilmu di dada, kena kuat mental dan fizikal, motivasi kena jaga dan sentiasa bertawakal kepada Allah.

Dan ini membawa kita kepada tips bonus yang tak boleh dilupakan iaitu:


SANDARKAN SEGALANYA PADA ALLAH

Bagi anda yang muslim, buat apa sahaja, pastikan sandarkan kepada Allah. Buat kerana Allah dan bukan kerana manusia atau harta. Kerana kita perlu sentiasa ingat, harta, rezeki, kekayaan itu semua datang dari pemilik Yang Maha Kaya itu sendiri.

Siapa lagi kalau bukan Allah. Kekayaan yang tiada batasan yang diberikan kepada sesiapa sahaja dari kalangan hambaNya yang sentiasa bersyukur kepadaNya.

Ini ditambah lagi dengan dalil berikut:

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan  yang ada di bumi dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Surah AnNisaa'. Ayat 131.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih."

Surah Ibrahim, ayat 7

Sentiasalah menjadi orang yang bersyukur dengan segala nikmat Allah. Boleh jadi Allah memberi kita rezeki setakat mencukupi apa yang kita perlu.

Boleh jadi Allah limpah ruahkan harta yang juga merupakan sebuah ujian sama ada kita berbelanja di jalan yang benar atau sebaliknya. Kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya ialah ujian.

Jadi sentiasalah bertakwa kepada Allah. Pasti hidup kita akan tenang dan redha dengan perjalanan hidup ini.


KESIMPULAN

Jika nak bercakap tentang simpanan, pelaburan, nikmat rezeki boleh jadi topik yang panjang dan takkan habis.

Ilmu tentang kewangan dan bisnes merupakan pengajian sepanjang hayat. Jadi kita perlu sentiasa meneroka peluang yang baru.

Pada setiap kesulitan pasti ada penyelesaian dan peluang. Begitu juga dengan ancaman dan cabaran yang mendatang. Niatkan segalanya kerana Allah SWT.

Comments