KENAPA GAJI MAKIN TINGGI, HUTANG JUGA MAKIN TINGGI

 


Kebanyakan antara kita mungkin mempunyai gaji yang rendah ataupun sederhana. 

Jadi kita sering mengimpikan untuk memiliki gaji yang tinggi untuk menampung kos sara hidup dan segala komitmen hutang yang sedia ada.

Namun tahukah anda, gaji tinggi pun tidak menjamin kelegaan pada status kewangan and ajika anda tidak mempunyai pengurusan kewangan yang baik.

Hari ini betapa ramainya masyarakat yang bergaji tinggi, tetapi turut mempunyai hutang yang tinggi dan seterusnya membebankan kelangsungan hidupnya. 

Seolah olah tiada beza pun antara mereka yang bergaji rendah mahupun bergaji tinggi.

Kunci utamanya di sini ialah kecelikan pengurusan kewangan. Tiada jawapan lain.

Kaya mana pun kita, jika pengurusan kewangan teruk, kita sebenarnya miskin. 

Begitu juga bagi mereka yang bergaji rendah. 

Jika anda bergaji rendah, tapi mempunyai pengurusan kewangan yang cekap dan rasa dahaga dengan ilmu berkaitan kewangan dan pelaburan, anda ada peluang untuk menjadi kaya.

Berikut dikongsikan antara beberapa sebab kenapa ramai yang bergaji tinggi, tetapi tetap hidup susah.


TIADA MATLAMAT DAN PERANCANGAN KEWANGAN

Tanya Kembali diri kita, apakah matlamat kewangan kita. Adakah hidup kita sekadar dapat gaji, bayar hutang, berbelanja sedikit dan ulang proses sampai kita pencen. 

Jika pencen, berapa banyakkah simpanan hari tua kita tersebut?

Ramai antara masyarakat kita yang tidak memiliki perancangan dan matlamat kewangan begini. 

Ada banyak matlamat yang boleh kita rancangkan. 

Antaranya termasuklah matlamat pelaburan, simpanan hari tua, simpanan kecemasan, simpanan kesihatan, kos Pendidikan anak anak dan sebagainya.

Dengan memiliki matlamat yang jelas, anda akan lebih berdisiplin dan tahu ke mana duit anda perlu disalurkan dan disimpan. 

Tanpa matlamat ini, anda cenderung untuk berbelanja tanpa pengurusan yang rapi dan duit akan mudah mengalir keluar, dan rasa begitu susahnya duit untuk masuk Kembali.

Malah lebih bahaya, cashflow yang negatif, boleh buatkan anda jatuh status muflis. Ini bahaya yang menanti orang orang muda terutamanya.


TIADA TABUNG KEWANGAN

Memiliki tabung untuk duit anda ialah satu kaedah yang sangat penting dan wajib bagi setiap antara kita untuk memiliki pelbagai jenis tabung. 

Ini termasuklah tabung kecemasan, tabung Pendidikan, tabung kesihatan, tabung pelaburan, tabung rumah, tabung hutang, tabung pelancongan dan sebagainya.

Kadang kadang, ada antara kita yang apabila ada peningkatan gaji setiap tahun, malah ditambah pula hutang menggunakan lebihan gaji tersebut. 

Ini sangatlah tidak sihat dan adakah menambah hutang itu betul betul satu keperluan atau sekadar kemahuan sahaja.

Saban tahun, kos sara hidup kian meningkat. Pelbagai jenis kos perlu dikeluarkan bagi menampung hidup anda dan seisi keluarga. Memiliki simpanan yang cukup dan berpatutan sangatlah penting.


TIADA ILMU CELIK KEWANGAN

Hari ini, jika anda melayari internet tidak kiralah sama ada di google, youtube mahupun facebook dan media sosial yang lain, ilmu mengenai pengurusan kewangan dan pelaburan mudah diperoleh. 

Kebanyakannya dikongsi oleh pakar pakar pelaburan dan pengurus kewangan yang bertauliah. 

Mereka ini tidak henti henti berkongsi ilmu ilmu yang boleh mencelikkan masyarakat dan supaya kita tidak melakukan kesilapan berkaitan kewangan.

Tidak kiralah sama ada anda memperoleh ilmu melalui internet, seminar seminar, kelas kelas, buku, video, podcast dan sebagainya, yang penting anda memperoleh sesuatu dan dapat menyelamatkan status kewangan anda untuk jangka masa Panjang.

Berbelanja untuk mendapatkan ilmu jauh lebih penting berbanding anda berbelanja pada perkara yang belum pasti bermanfaat untuk anda di masa hadapan.


MUDAH TERLIBAT DENGAN PELABURAN YANG MENIPU

Tahukah anda, di setiap negara, adanya badan berautoriti yang mengawal selia badan badan dan organisasi pelaburan. 

Seperti di Malaysia, kita ada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia. 

Badan berautoriti ini pun sering mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati hati dan menyiasat mana mana individua tau syarikat yang menawarkan pelaburan yang mencurigakan. 

Dalam laman web mereka pun sering disenaraikan syarikat syarikat yang di blacklist kerana menyediakan medium pelaburan yang tidak sah dan menganiaya masyarakat.

Ada antara masyarakat kita yang mudah percaya dengan skim cepat kaya dan skim MLM yang tidak menjamin apa apa. 

Ingat, tiada mana mana medium pelaburan di dunia ini yang menawarkan pulangan yang tinggi atau kaya dalam hanya satu malam sahaja. Melainkan mereka hanya ingin menipu anda.

Sentiasa siasat dan rujuklah dengan pakar pakar kewangan serta badan badan berautoriti bab kewangan dan pelaburan.


Comments